Leave a comment

Penjelasan dan Nasihat Terbuka Kepada Ustaz Wan Ji

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas nabi junjungan, Muhammad SAW. Pertamanya saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memberikan ruang blog mereka untuk saya memberikan penjelasan terhadap tuduhan Ustaz Wan Ji dalam artikel beliau http://g-82.blogspot.com/2010/12/apa-yang-tak-kena-pada-zaharuddin.html . Saya hairan, kenapa selepas diskusi buku ‘Menuju PAS Baru’ di Chinese Assembly Hall, saya cuba diserang secara peribadi melalui blog terbuka.

Kali ini tohmahan yang dilemparkan oleh Ustaz Wan Ji Wan Husin tanpa asas dan bukti yang kuat, disertai dengan cabaran yang sombong dan angkuh. Sebelum saya menyatakan kesediaan saya menyahut cabaran tersebut, suka untuk saya berikan penjelasan terhadapan tohmahan kosong yang tidak berasas yang telah dicoretkan oleh beliau.

1. Beliau membuat tuduhan bahawa saya punca beliau dituduh SB. Beliau berkata: Tuduhan sebagai SB yang dilakukan oleh Nasir itu, dipercayai oleh Zaharuddin Muhammad. Setakat perkataan ‘dipercayai’ masih tidak konkrit untuk menuduh saya sebagai punca tuduhan tersebut. Setakat “dipercayai”, kemudian menyebarkan dalam blog dianggap menyebarkan perkara dusta. Sabda nabi SAW bermaksud: cukuplah seseorang melakukan pendustaan (paling minimum) dengan menceritakan semua perkara yang didengari (tanpa diperiksa). saya mengalukan kedatangan saksi yang menyatakan saya adalah punca beliau dituduh SB di dalam Muzakarah akan datang untuk saya kenal pasti siapa dalang pembawa cerita-cerita bohong seperti ini.

2. Isu Azlan kononnya diperangkap: Dakwaan seperti Azlan di soal macam siasatan polis, HP beliau dirampas adalah tidak benar sama sekali. Ustaz Wan Ji perlu mendengar kedua belah pihak sebelum membuat justifikasi. Apa yang difahami daripada tulisan beliau, justifikasi negatif tentang perangkap tersebut hasil daripada cerita Azlan seorang sahaja. Pernahkah Ustaz Wan Ji mendengar cerita daripada kedua-dua belah pihak, terutamanya daripada pihak PAS Kawasan Subang sendiri? Pernahkan Ustaz Wan Ji mendengar rakaman tuduhan Azlan terhadap Abang Ibrahim, Pengurus MTD yang dituduh melesapkan duit peruntukan kerajaan Selangor sebanyak puluhan ribu. Pada waktu itu, saya selaku Pemangku YDP kawasan sememangnya perlu mengambil tanggungjawab di atas tuduhan berat tersebut. Siapa nak siasat kalau tak Kawasan Subang? Takkan nak pecat Abang Ibrahim hanya dengan tuduhan Azlan seorang? Salahkan PAS kawasan Subang menyiasat dengan memanggil Azlan sendiri justeru beliau adalah pendakwa? Jika penyelewengan benar-benar berlaku maka Abang Ibrahim perlu dipecat, jika tidak beliau perlu dibela dan dibersihkan nama, bukan pembersihan nama beliau sahaja, tetapi nama PAS Kawasan Subang sendiri.

Justeru itu, langkah pertama yang telah diambil oleh PAS Kawasan Subang, ialah ‘merehatkan’ Abang Ibrahim sehingga siasatan kes ini selesai. Pihak kawasan telah melantik 4 orang juru audit yang independent, diketui oleh Haji Misni, Abang Zul, Abang  Nik dan beberapa orang yang lain (waktu itu mereka tidak lagi terlibat dalam kawasan Subang). Saya menyerahkan seratus peratus urusan audit tersebut kepada mereka. Selepas mengambil masa hampir sebulan bertungkus lumus, akhirnya audit selesai dilakukan. Bermula dengan pemeriksaan semua akaun peribadi Abang Ibrahim sehinggalah kepada wang keluar di pejabat Daerah dan lain-lain. Keputusannya sungguh mengejutkan, Abang Ibrahim bukan sahaja di dapati tidak melesapkan wang tersebut, bahkan beliau telah menggunakan wang peribadi beliau sekitar RM11,000 bagi membayar tuntutan masyarakat memadangkan wang peruntukan negeri belum diturunkan ke MTD-MTD. Beliau sanggup mengeluarkan wang peribadi daripada akaun beliau semata-mata untuk menjaga nama kerajaan Pakatan Rakyat dan mengelakkan pandangan negatif masyarakat bahawa Pakatan Rakyat ‘kedekut’. Tergamakkah kami diperingkat Kawasan Subang melihat orang yang sanggup berkorban demi Parti Islam ini dituduh dengan tuduhan liar kononnya melesapkan wang peruntukan kerajaan? Selepas audit selesai dijalankan, tuduhan liar itu semakin kuat kedengaran. Bagi mengelakkan nama PAS tercemar di Kawasan Subang dengan berita palsu seperti ini, pihak Dewan Harian PAS Kawasan Subang telah membuat siasatan punca fitnah ini dan akhirnya mendapat rakaman percakapan Azlan yang menuduh Abang Ibrahim melesapkan wang. Pihak Dewan Harian telah memanggil beliau atas nama Dewan Harian bagi meminta penjelasan tentang dakwaan beliau sebagaimana di dalam rakaman. Ringkasnya, beliau tidak dapat memberi penjelasan kepada Dewan Harian. Walau bagaimanapun, kes ini dianggap selesai, khususnya selepas dibuat penerangan audit di markaz U5 kepada jentera PAS kawasan yang memang tidak dihadiri oleh Ustaz Wan Ji dan Azlan sendiri. Yang saya hairan, kenapa Ustaz Wan Ji boleh menerima berita yang dibawa oleh Azlan bulat-bulat dan terus bertindak untuk tidak mahu menemui saya dan meletakkan syak wasangka yang bukan-bukan. Saya sedikitpun tidak mengetahui bahawa Ustaz Wan Ji juga berpihak dalam kes ini sehinggalah saat beliau menceritakan pertemuan beliau dengan Azlan dalam artikel tersebut. Saya lagi tak sangka Ustaz Wan Ji sedangkal itu apabila boleh menerima berita besar dengan semata-mata cerita seorang individu di kedai kopi di tengah malam. Saya ingin bertanya, patutkah dengan hanya mendengar berita Azlan seorang sahaja Ustaz Wan Ji terus meletakkan wasangka dan membuat pendirian? Di mana beliau meletakkan firman Allah SWT: Jangan kamu membuat pendirian terhadap sesuatu yang kamu tidak mempunyai ilmu kerana sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu akan disoal di hadapan Allah SWT? Untuk maklumat ustaz Wan Ji, setakat mendengar maklumat pihak Azlan tanpa mendengar penjelasan daripada audit kawasan, itu masih belum mencapai tahap ‘ilmu’ yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut untuk membuat pendirian pro atau kontra, apatah lagi  membuat tuduhan liar seperti dalam artikel terbaru beliau. Orang-orang ikhlas di Kawasan Subang pergi ke sana, ke mari, bersekang mata buat audit, ambil masa hampir sebulan untuk mencari kebenaran, sedangkan ustaz Wan Ji membuat justifikasi hanya mendengar seorang individu di waktu tengah malam di kedai kopi? Patutkah?

Berdasarkan realiti di atas, saya mencabar Ustaz Wan Ji membawa saksi beliau seperti Azlan atau lain-lain yang terlibat jika ada, saya akan membawa audit kawasan dan ajk Dewan  harian yang lepas, dokumen-dokumen audit, rakaman azlan dan lain-lain yang perlu. Kita bersemuka dan tengok siapa yang benar siapa yang membuat tohmahan liar.

3. Forum Hijrah di surau Al-Azhar adalah perangkap: tuduhan ini adalah langsung tidak berasas. Beliau menyebut: “tak habis-habis lagi. Dulu perangkap Azlan, hari ni nak perangkap aku pula”. Untuk makluman ustaz Wan Ji, pihak surau cukup marah apabila beliau mendakwa sewaktu berforum bahawa beliau tidak dimaklumkan oleh pihak surau bahawa malam tersebut ada forum. Abang Abrar sebagai orang yang bertanggungjawab menjemput penceramah, Haji Sahak (dikenali juga Ustaz Ishak) selaku pengerusi Surau dan lain-lain AJK surau rasa dimalukan apabila beliau meyebut perkara ini di hadapan hadirin umum, seolah-olah pihak penganjur tidak bertanggungjawab. Mereka masih menyimpan mesej peringatan forum pada pukul 2: 04 minit tengahari dan mereka benar-benar berhasrat untuk bersemuka dengan Ustaz Wan Ji, khususnya apabila perkara ini dicoretkan pula di dalam blog beliau. Bagaimana Ustaz Wan Ji boleh anggap forum tersebut adalah perangkap beliau sedangkan forum tersebut bukan saya yang rancang dan saya hanya panelis yang dijemput oleh pihak penganjur surau. Sayapun sama juga, tidak mendapat soalan sepatutnya, itupun kerana pengerusi asal tak dapat hadir. Kita sebagaimana akhlak biasa, kena terima dan berlapang dada di atas kelemahan program yang berlaku. Bukan menggelabah dan membuat tuduhan-tuduhan liar.

Apa yang saya hairan, Ustaz Wan Ji yang telah mengakui sewaktu selesai diskusi buku menuju PAS Baru bahawa forum Hijrah tersebut bukan debat, tetapi tiba-tiba seolah-olah mengiyakan pula apa yang ditulis oleh Zainul Faqar yang forum itu mengandungi elemen debat. Beliau mendakwa bahawa Zainul Faqar tinggal di situ sedangkan apa yang Zainul Faqar beritahu saya bahawa beliau tinggal di Selayang, manakala jemaah surau Al-Azhar langsung tidak mengenali dan tidak pernah melihat beliau di surau tersebut. Jemaah surau pun hairan kenapa tup-tup dia muncul di surau tersebut pada malam forum dan menulis berita seperti itu? Apa yang lebih menghairankan, dari mana Zainul Faqar mendapat maklumat bahawa saya ingin berjumpa Ustaz Wan Ji selepas forum, walhal saya hanya memberitahu ustaz Wan Ji seorang sahaja hasrat untuk bertemu selepas kuliah, orang lain tidak tahu. Lagi satu yang peliknya, apa buruknya forum Hijrah tersebut sehingga ia dianggap perangkap kerana perangkap adalah sesuatu yang tidak baik? Adakah forum Hijrah tidak baik? Dalam hal ini, Ustaz Wan Ji terlalu berwasangka sehingga hilang pertimbangan.

4. Seni Tulisan Zainul Faqar: seni coretan kisah forum oleh Zainul Faqar yang di’link’kan oleh Ustaz Wan Ji sebenarnya adalah seni golongan Yahudi yang cuba memecah-mecahkan orang Islam dengan menggambarkan sesuatu realiti normal sebagai perpecahan, perselisihan dan perbalahan bagi tujuan yang tertentu. Sebagai contoh mereka telah cuba menggambarkan nabi-nabi dahulu berbeza dengan nabi Muhammad SAW seperti harta ghanimah nabi-nabi terdahulu di makan oleh api yang turun daripada langit dan perkara ini tidak berlaku kepada nabi Muhammad SAW. Tujuannya ialah untuk menyatakan nabi salah supaya ada golongan yang sokong nabi supaya menjadi puak yang kedua yang sokong nabi terdahulu dan kontra dengan nabi. Ini juga ‘seni’ golongan orientalis barat dan zionis bagi tujuan memecah belahkan kesatuan orang-orang Islam. Sedangkan perbezaan ini bukan khilaf, apatah lagi perbalahan justeru ia di dalam ruang lingkup yang diizinkan oleh syariat sebagaimana khilaf mazhab. Dalam forum tersebut tidak berlaku khilaf pun, saya sentuh sudut lain, Ustaz Wan Ji sentuh sudut lain berdasarkan soalan pengerusi, sebagaimana adat forum biasa setiap panelis menyentuh poin dan topik berbeza. Ini adalah ulasan dari aspek berbeza, bukan khilaf dan perselisihan dan jauh sekali pergaduhan yang tercela di sisi syariat. Cubaan menggambarkan situasi ‘sihat’ ini sebagai ‘perselisihan pendapat’ dan ‘ada yang diterima dan ditolak’ adalah seni ‘Yahudi’ zaman berzaman, bukan seni wartawan muslim yang soleh. Dalam hal ini, saya cabar Zainul Faqar datang ke surau Al-Azhar, berdepan dengan jemaah surau tersebut dalam menjastifkasikan perkara ini.

5. Tuduhan Zainul Faqar di dalam blog beliau: suka saya nyatakan di sini, bahawa pihak surau Azhar juga ingin bersemuka dengan beliau yang disifatkan sebagai memburukkan keadaan forum tersebut seolah-olah berlaku debat, wal hal yang berlansungnya ialah forum tentang Hijrah. Logiknya, mana boleh nak debat tentang tajuk hijrah? Beliau menulis dalam blog beliau kononnya saya ingin berjumpa dan ‘mengadakan wacana ekslusif’ selepas forum forum tersebut dan di tolak oleh Ustaz Wan Ji, wal hal saya ingin bertanya dan meminta penjelasan tentang tuduhan beliau bahawa Dr. Harun Din ‘ulama kepala lutut’, bukan nak buat ‘wacana sulit’ sebagaimana dakwa beliau. Kalau ikutkan hati, nak tanya dia depan orang ramai waktu makan selepas kuliah, tapi takut dia dimalukan. Tujuan saya ingin berjumpa beliau ialah ingin memberikan pandangan sebagai seorang sahabat kepada beliau yang telah menggelarkan Dr. Harun Din sebagai ulama kepala lutut kerana perkara ini menjatuhkan kredibiliti beliau sendiri. Saya mempunyai asas untuk bertanya beliau berdasarkan face book dalam format picture yang diberikan kepada saya. Di sini saya ‘paste’kan bagi mengelakkan tohmahan saya membuat tuduhan palsu. Saya dahulunya hanya mendiamkan diri sekalipun saya tidak bersetuju dengan cara kritikan secara terbuka beliau di dalam blog terhadap kawan-kawan seperjuangan seperti YB Ustaz Nasir dan sahabat-sahabat yang lain. Tetapi apabila beliau mencoretkan bahawa Dr. Harun Din sebagai ulama kepala lutut, itu yang saya rasa terpanggil untuk meminta penjelasan daripada beliau.

 

Adapun apa yang dicoretkan oleh Zainul Faqar, saya tidak mahu layan coretan kosong berunsur prejudis tersebut kerana saya mempunyai banyak kewajipan lain. Lagipun, setelah saya servey, saya dapati blog beliau bukan diambil kira dan iktibar oleh pembaca-pembaca. Terutamanya apabila saya dapati beliau terus dengan cara beliau setelah saya meminta mengubah beberapa perkara dan meminta beliau merujuk kepada ayat quran berkaitan. Bagi saya, orang yang telah diberi tahu dan berkeras juga melakukan benda yang sama setelah mendapat peringatan, hanya layak menerima doa sebagaimana doa yang dipohon oleh Nabi Musa a.s. sebagaimana surah Yunus, ayat 88. “Ya Allah ya tuhanku, Jika Zainul Faqar melakukan tuduhan tanpa asas dan sengaja ingin membuat kekalutan, hancurkannya bersama hartanya, keraskan hatinya, dia tidak akan menerima kebenaran (berubah) sehingga menerima azab yang pedih”. Saya rasa cukup dizalimi apabila difitnah oleh blogger-blogger yang tidak berakhlak seperti ini khususnya apabila saya tidak mempunyai proksi blog yang kuat untuk menjawab balik tohmahan tersebut. Saya berharap, kalau saya berdoa, doa saya dimakbulkan oleh Allah, kerana doa orang yang dizalimi tiada hijab antaranya dengan Allah swt. Dan inilah sahaja senjata orang beriman yang lemah. Saya juga berharap, beliau menerima azab dan insaf di atas dunia ini sebelum akhirat. Kerana membuat perubahan di atas dunia adalah belum terlambat, tetapi melihat azab dan bertaubat selepas mati tidak ada gunanya.

6. Tuduhan menggunakan blog hantu: saya hairan, apa pula asasnya tuduhan Ustaz Wan Ji ini dan blog mana pula yang hantunya? Saya bukan blogger sebab banyak kerja lain yang saya kena selesaikan. Lagi satu, Ustaz Wan Ji silap eja, bukan ‘Playself’ tapi “play safe”. Tapi takpe, yang ni remeh je, bukan isu.

7. Cabaran Debat: Saya kurang selesa mendengar perkataan debat dan saya lebih selesa dengan perkataan muzakarah sebab debat menggambarkan permusuhan manakala muzakarah menggambarkan ‘nasihat menasihati’ dan ‘mencari kebenaran’. Walau apapun istilah yang diguna pakai oleh Ustaz Wan Ji, “kecil tapak tanyak, nyiru saya tadahkan”.  Pihak Surau Azhar sudah bersiap sedia untuk jadi tuan rumah. Saya tunggu ustaz Wan Ji di surau tersebut pada hari selasa, 1 Februari, iaitu tarikh asal beliau kuliah di Al-Azhar. Untuk maklumat Ustaz Wan Ji, Saya sudah maklumkan kepada pihak surau Al-Azhar perkara ini dan mereka sangat mengalu-alukan muzakarah (debat menurut istilah Ustaz Wan Ji) dan mereka sangat ingin bersemuka dengan Ustaz Wan Ji dan Zainul Faqar yang telah mencoretkan ‘wajah hodoh’ bagi forum yang baik. Di samping itu, saya juga mengalukan-alukan saksi-saksi ustaz Wan Ji dan sangat berbesar hati untuk mengetahui siapakah batu api dan dalang belakang. Saya akan bawa saksi-saksi saya yang terdiri daripada AJK surau sendiri, bekas Audit Kawasan, lain-lain saksi, bukti-bukti rakaman dan lain-lain sebagaimana yang dinyatakan di atas.

8. Jika rasa tak selamat di surau Al-Azhar: Kalau rasa tak selamat kerana kononnya ‘mahu mengelak berlaku perkara yang tidak diingini’, saya serahkan kepada ustaz Wan Ji sebutkan tempat, tarikh dan masa yang lain di dalam Selangor atau Lembah Klang untuk kemudahan kehadiran saksi-saksi saya. Kalau rasa tak yakin juga, buat kat rumah beliau sendiripun tak apa. Takkan seluas-luas Selangor ni tak ada tempat selamat hatta rumah sendiri. Berani kerana benar, takut kerana salah. Lagi satu, kalau rakaman dianggap sebagai satu ‘trap’ macam konon-kononnya kes Azlan, perangai ni sama macam UMNO tahun-tahun 80an dulu. Mula-mula bukan main tunjuk hero ajak PAS berdebat dan di canang-canang dalam televisyen. Lepas PAS setuju, ajak buat tertutup tanpa rakaman. Bila PAS bersetuju juga, lastly batal!

9. Jangan jadi pengecut: saya harap, Ustaz Wan Ji jangan buat alasan dan jadi pengecut.  Berani mendakwa, beranilah bersemuka dan kemukakan saksi dan bukti. Kenapa berani membuat tuduhan, tetapi enggan ber’muzakarah’ dan mengemukakan bukti, saksi dan dalil. Perangai ini adalah perangai si munafik di zaman Rasulullah SAW yang hanya suka menyebarkan Ifki (berita fitnah) tanpa berani berdepan mengemukakan dalil dan saksi yang ‘thiqah’. Sekali sekala rasa lucu juga justeru isu yang ditimbulkan ialah tuduhan beliau terhadap saya ialah isu Azlan, isu forum Hijrah di surau Al-Azhar, isu saya macam orang jahat yang suka perangkap orang lain dan lain-lain, tup-tup pergi ajak debat isu ‘gabung PAS UMNO’ dan isu ‘apakah pimpinan PAS ini tidak boleh ditegur dan dikritik’. Tak ke ‘tak masuk akal’ tu? Gambarannya macam orang datang dan tumbuk curi, kemudian kata, kalau engkau berani lawan, engkau pergi tumbuk tiang tu. Kalau nak balas, mesti balas orang yang tukang tumbuk curi (isu yang ditimbulkan), apa nak pergi ‘buang karen’ tumbuk tiang (isu lain) yang tak ada kena mengena. Kan ke itu sikap pengecut yang tak sedar ia kelihatan ‘tiga suku’? Satu lagi, sebelum ajak debat, Ustaz Wan Ji kena pastikan benda tu betul ke wujud? Kemudian kalau wujud, kena pastikan pula apa stand saya? Setakat yang saya tahu, tak ada PAS nak bergabung dengan UMNO. Macamana saya nak buat ‘stand’ tentang yang saya sendiri tak tahu kewujudannya? Bila ajak debat ‘isu apakah pimpinan PAS ini tidak boleh ditegur dan dikritik’, Ustaz Wan Ji perlu sedar bahawa isu ini bukan sesuatu yang relevant untuk dimuzakarahkan justeru ia bukan dasar PAS. Kalau benar berlaku pun sebagaimana dakwaan Ustaz Wan Ji, ia tetap juga tidak relevan untuk dimuzakarahkan justeru ia sikap individu kerana mana ada perlembagaan PAS sebut pimpinan PAS tidak boleh ditegur. Relevankah kalau ada orang bukan Islam yang duk canang-canang ada ‘orang Islam mencuri’ kemudian ajak ulama Islam berdebat tentang ‘kecurian’. Bukankah satu benda yang melucukan?  Lain la kalau Islam mengharuskan mencuri.

Apapun, kalau berani sangat, saya cabar ustaz Wan Ji bawa kelima-lima saksi yang menelefon beliau untuk datang pada malam ‘muzakarah’ pada 1 Februari kerana saya nak tahu juga siapa yang bawa cerita ni.

Akhir kata, saya ingin memberikan nasihat terbuka kepada Ustaz Wan Ji supaya berubah kerana perangai ini mengandungi ciri-ciri berikut:

  1. Dusta: menyebarkan berita tanpa memastikan kesahihan dan menyebarkan segala apa yang didengari, maka ianya dianggap dusta sebagai hadis nabi SAW: كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع. Cukuplah seseorang berbohong (dengan bohong yang minimum) dengan menceritakan (semula) segala perkara yang didengarinya (tanpa memeriksanya terlebih dahulu) – (Hadis Riwayat Muslim). Setakat ‘dipercayai’ dan terus tarik sebagai evidence adalah sesuatu yang tidak bermoral.
  2. Tidak bersifat dengan sifat muslim sejati apabila semua orang terkena lidahnya (dimaki, dikata, dinista dan dikutuk). Sabdi Nabi SAW: المسلمون من سلم المسلمون من لسانه ويده Maksudnya: orang Islam (yang sebenar) ialah orang Islam yang lain selamat dari lidahnya (kutukan dan nistaanya) dan tangannya (pukulannya)– (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Yang terkena lidah Ustaz Wan Ji pada hari ini bukan setakat seorang muslim, tetapi hampir semua ulama dalam PAS dah kena lidah Ustaz Wan Ji hatta termasuk Dr. Harun Din yang disegani oleh semua lapisan masyarakat.
  3. Sifat munafik: Firman Allah swt di dalam Surah Al-Baqarah ayat 11-16 di mana Dr. Wahbah mendetailkan bahawa 4 sifat penting orang munafik, di mana kalau ada satupun dah cukup untuk melayakkan mereka menerima azab. Salah satunya iaitu melakukan kerosakan di muka bumi dengan menyebarkan fitnah, menghasut orang-orang Islam dan melariskan berita-berita palsu. (Lihat tafsir Al-Munir, Jilid 1 m/s 88). Mereka mendakwa konon-kononnya mereka membuat pengislahan bahkan tanpa sedar mereka hakikatnya berbuat kerosakan. Firman Allah swt: وإذا قيل لهم لا تفسدوا في الأرض قالوا إنما نحن مصلحون. Maksudnya: dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: “Sesungguhnya Kami orang-orang Yang hanya membuat kebaikan”. – (Al-Baqarah: 11). Ukuran perbuatan mereka ialah berita palsu yang sanggup mereka sebarkan, bukan dakwaan islah mereka. Dalam kes-kes di atas, saya telah buktikan bahawa dakwaan Ustaz Wan Ji adalah palsu dan bohong. Rekod dan artikel beliau lawan UMNO tidak boleh menghalalkan cara beliau mengutuk golongan seperti Dr. Harun Din dan PAS sendiri, justeru Munafik zaman nabi juga lawan musuh Islam dalam banyak siri peperangan.
  4. Sifat Yahudi dan golongan kufur yang suka mengambil berita daripada orang yang tidak berkenaan: Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 41 bermaksud: “Wahai Rasulullah! janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya: “kami tetap beriman”, padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu. Dalam ayat 42 Allah SWT berfirman: “mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta”.

Saya berpendapat bahawa nasihat terbuka ini diharuskan sekalipun hukum asalnya tidak diharuskan justeru tohmahan sudah dilakukan secara terbuka oleh Ustaz Wan Ji. Ini bermaksud, jika Ustaz Wan Ji berkeras untuk tidak mahu bertanggungjawab dengan bersemuka tentang isu ini, tidak mahu berubah, blog beliau sepatutnya diboikot justeru firman Allah swt untuk mereka yang suka membuat fitnah tanpa saksi sebagaimana ayat 4 daripada surah An-Nur , bahawa orang yang suka membuat fitnah tanpa bukti dan saksi, penyaksiannya (pendakwaan eg: melalui tulisan dan sebagainya) jangan diterima pakai kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. Saya berdoa supaya beliau berubah, dilembutkan hati dan dapat mengawal emosi. Saya berharap beliau tidak berterusan dengan perangai ini kerana orang yang telah datang amaran dan peringatan seterusnya berkeras juga, ia tidak layak menerima petunjuk, bahkan layak menerima azab dan hati yang semakin keras sehingga tidak akan insaf melainkan selepas menerima azab dan balasan.

Walau apapun, segala baki urusan saya serahkan kepada Allah swt.

 

Yang benar:

Azharudin Mat Said.

 

Advertisements

Posted 11/01/2011 by elbalighah in Uncategorized

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: